Aku اکو

"..aku cuma ingin menjadi Muslim yang baik. Namun, sekiranya aku gagal, ia adalah kekhilafan aku di atas dunia sebagai seorang manusia yang tidak sempurna "

Salam Ukhwah سلام اوقوه












Sutera mewah hamba sembahkan

Bawa ke anjung bersama suasa
Salam Ukhwah hamba hulurkan
Buat pengunjung Cinta Al-Aqsa

Keris didamba seluruh persada
Tradisi dibawa mudik kelaut
Bicara hamba masih muda
Gurulah jua tempat berpaut

Puteri ternama jadi impian
Seisi kota merisik tanya
Lorong agama penuh ujian
Peluklah kita pada akarnya

Cinta Al-Aqsa,Kuala Lumpur

AkSarA bUDi اکسارا بودي


Asalamualaikum w.b.t.
Hamba coretkan kalam ke atas lembaran maya bagi mengisi permukaan naskhah dengan aksara budi.Pengunjung sekalian umpama cendekiawan yang datang dengan pelbagai persoalan dan ideology tersendiri.Hamba sekadar anak muda yang ingin melunaskan cita-cita berkongsi wadah menggayakan intelektiviti.Hamba dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan budi bicara dalam tinta ini.Yang baik dari Allah.Yang khilaf milik hamba.Andai pemikiran hamba tersungkur dari batas ilmu,cuit2kan bahu hamba.Usah dicubit sembunyi tangan.Maka yang salah tak dapat diperbetul.Yang baik tak hamba peroleh.Hamba ini umpama anggerik.Liar dihutan harum tiada.Direntap kasar hancur kelopak.Dipetik baik jadi jambangan.Menemui blog hamba dalam jutaan blog ilmuan lain,umpama menemukan anggerik dihutan desa.Mohon tetamu bertanya dengan bahasa.Menegur biarlah berilmu.Memikat dengan budi.Bermusuh jangan sekali.Riwayat hidup tiada lama.Andai terpisah siraturahim,didalam tanah kecundanglah hamba.Salam ukhwah untuk semua.

Cinta Al-Aqsa

Dari Blogger kepada Bloggers

salam. Hamba telah memecah belahkan blog hamba kepada 3 bahagian iaitu

blog ini cintaal-aqsa.blogspot.com untuk politik , teknologi etc

blog kedua cintaalaqsa.blogspot.com untuk bicara sains dan islam

dan blog peribadi hamba untuk teman-teman yang menyayangi hamba cinta-al-aqsa.blogspot.com

Salam Ukhwah buat semua. semoga mendapat manfaat.

Buat Adikku dunia dan akhirat


Sayang,
Hidup ini misteri
Semakin dicari semakin sukar untuk dimengerti
Lebih2 lagi soal hati.
Dekatkan dirimu pada tuhan
Kerana disitu segala ketentuan
Agama itu penentu jalan
Menghidupkan roh keinsafan
Semoga kau tabah hadapi segala dugaan
Dalam kehidupan.
Sayang,
Doa kanda sentiasa untukmu
Agar hidupmu sentiasa dalam redha-Nya

5.10.12

Warkah buat kamu.

Untuk lelaki papa yang tidak ada rupa.

Saya masih ingat kamu makan kurma dan maggie semasa berbuka puasa untuk beri saya makan nasi. Saya masih ingat sindiran ‘heh’ bila mereka bertanya tentang gaji. Saya tidak akan membela kamu sekiranya kamu bukan lelaki mulia yang menjaga kebajikan saya selepas kematian ayah. Kamu korbankan keringat dan tenaga seperti kerbau diikat tali untuk saya mendapatkan sehelai kertas yang bertulis ‘graduan ijazah’. Kamu daif. Tetapi kamu tidak lokek kasih sayang. Kamu peluk abah kamu yang sudah tua dan papa itu umpama kamu masih bayi yang mahu dikelek ibunya. Kamu serahkan semua duit gaji bulan ramadhan kepada adik perempuan kamu sedangkan kamu sendiri tidak ada simpanan lagi untuk membeli tiket bas.

Mereka hina kamu. Kerana kamu bukan berdarah si polan bin si polan. Mereka jengkel memandang kamu kerana kamu bukan si dot dot dot. Mereka meludah nista, mencebit kelat ke atas nama kamu. Saya sendiri malu untuk mengaku dikhalayak ramai apa takdirmu dan saya. Saya selubung wajah kamu dari masyarakat kerana saya takut terkena tempias sindrom kusta kasta. Kamu minta saya jangan temukan kamu dengan orang sekeliling saya lagi kerana cukuplah apa yang kamu telah terima. Tetapi mereka kata kita hidup dalam komuniti. Mesti temu-bertemu.

Kamu,
Saya dan kamu sama. Kalau mereka tidak setuju laras seorang hamba, mari kita berbeza. Yang kaya berkawan dengan materialnya. Yang miskin bergelumang dengan jerih perihnya. Tunggulah nanti, kita akan mendayung perahu daif kita ke haluan sana. Mereka di darat akan tetap menenggek di atas batu, mendoakan tenggelamnya si perahu.

Kamu,
Hidup ini kesempatan untuk kita menduduki ujian. Kamu takdir saya di atas dunia. Entah kita akan bertemu di alam kedua, ketiga. Kamu dan saya akan melihat antara satu sama lain. Memalingkan wajah dari lemparan batu mereka. Perisailah jasad saya meskipun dengan helaian kain, saya bersyukur. Kerana kamu sudah terlalu banyak melakukan kebaikan ke atas saya.

Media.
Kamu bukan lelaki biasa. Bukan lelaki penjawat profesional tetapi di pintu masuk rumah bertukar keji. Di luar rumah, gelandangan dengan wanita pendusta.
Kamu bukan lelaki kacak yang merengek mencubit harta orang tua sedikit demi sedikit supaya dapat menampung kamu untuk bergaya.
Kamu bukan anak derhaka yang meninggalkan orang tuanya kerana terlupa. Meninggalkan isteri demi wanita lain. Menanggalkan kasih terhadap anak kerana dadah dan judi.
Saya mahu media tahu, kamu bukan lelaki yang layak menghuni dada mereka.

Kamu itu patuh. Kepada keluarga, Tuhan, majikan malah kepada manusia biasa. Kamu bodoh, memberi peluang kepada saya malah orang lain untuk memijak, menghentak dan mengheret kepala kamu lalu berdarahlah tanpa ada yang peduli manusia apakah kamu ini merelakan makhluk Tuhan lain menguji kamu sebelum mungkar dan nangkir. Tetapi jangan tinggalkan saya. Kerana saya mahu belajar sabar seperti kamu. Berpedoman dan memiliki akal waras seorang hamba Allah.

Malah, jangan jauh dengan saya. Meskipun selebar zarah. Saya mahu terus melihat wajah kamu yang setia senyum dibawah mentari, ditampar angin dan dilambung bah.

Seandainya ramai lelaki seperti kamu, maka wanita akan bahagia.

12.10.11

Ahmad.


Aku menangisi dukaku, dia meratapi dukanya, Dan duka kami tidak bertemu. 
-Cherating, Ramadhan 1432.

Aku menemui pantaiku dan dia masih dihempas ombak rindu. Kami berpisah, kerana dayungan takdirku meninggalkannya. Dia yang berduka dalam naluri yang merapat bongkak. Entah dia akan bahagia, seorang hamba Allah yang cinta kepada Tuhannya tetapi merendahkkan hambanya.
-Kuala Lumpur, 4 Okt 2012

19.6.10

Nota dari Izuddin

Aku berlari mengejar kejora di perbatasan senja. Terungkai bait-bait perjuangan semalam. Tercalit debu dosa yang masih memberkas hari ini. Keliru. Penuh sesal. Termangu. Hanya melihat senja pulang dimamah kelam. Mungkinkah esok senja akan kembali. Bersama bait-bait perjuangan itu, agar debu dosa bisa luntur pergi.Kala senja ini, aku menerawang sendirian. Cuba mencari secebis kekuatan. Terasa kosong rohani. Terasa kelam pedoman diri. Ah, dunia yang dikejar langsung tak terkejar. Semakin mengejar, semakin tercicir. Payahnya kehidupan ini. Sukarnya jalan ini. Ujian bertimpa-timpa tanpa sempadan kesenangan. Terlalu mencari senang sehingga lupa akan pentingnya ketenangan.

Jiwa berkecamuk, imbauan dosa-dosa silam. Terusik jiwa yang sudah kaku dengan ujian yang kecil ini. Kecil buat mereka yang memerhati, tapi besar buat yang mengharungi. Pantaskah diri ini melalui, bersama hela nafas-nafas yang ada. Sesekali mengeluh, sesekali mencungap. Di hambat kenangan noda silam, dicengkam sejuta kesilapan dan kealpaan diri. Diriku jatuh lagi disini, kerana mengikut hati yang hampir mati.

Bagai sebuah mimpi ngeri, kehidupan yang mulanya dengan baik, mengalir deras menuju kehancuran. Apakah ini pengakhiran buatku? Apakah ini bisa menjernihkan dosa noda terdahulu? Kata hati terus bertanya sendirian. Mengelamun dalam mencari jawapan.

Ya Allah… hamba Mu masih disini, pada saat dan ketika ini, pada kesuraman jiwa lantaran seksanya menanggung kesukaran ini. Pandanglah hamba Mu ini. Dengarkanlah rintihan jiwa ini.. Ampunkanlah keterlanjuran ini

*=========================================================*
” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma’aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
*=========================================================* http://baitulizzah.wordpress.com/

31.5.10

shootin N sesi temubual

Jalan Jahil

Tuhan, tiadakah kesudian menerima aku sebagai hambaMu
Lalu ditabur duri keemasan yang menyilau akalku
Menusuk naluri jahil

Andai hari ini aku ditimpa kesesatan
Buta dalam pencarian nur-illahi
Terpesong dari laluan mujahadah
Akan sucikah lagi iman hambaMu
Yang ketandusan ilmu ketuhanan
Namun sebenarnya qasidah kepada RahmatMu

Mencengkam sisa iman

Tuhan, berikan aku air
air yang berperasa ilmu
supaya dalam kutitis ke lidahku
saat aku dahaga limpahan cahaya iman

Tuhan
berikan aku selimut
yang dapat menghilangkan gusar dan gigil badanku
ketika aku diserang nafsu dunia

Tuhan
ketika manusia meninggalkanku
Janganlah Kau turut berlalu
berpaling dari wajah hinaku
Kerana kehampaanku akan mencarik lagi sisa iman
yang tampaknya bertampal-tampal
papa akan kasihMu

Berikan sinarMu yang terakhir meskipun ia untuk hamba yang paling hina
atau sekiranya tidak
cabutlah sahaja ruh yang alpa ini
daripada aku bernyawa atas kemurkaanMu

25.12.09

Lelaki idaman saya

Biarlah dia lelaki buta
sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat
terpelihara dari  memandang
Aurat wanita yang kecundang
Namun kuharapkan dia celik
melihat kesengsaraan yang kian memekik
Di bumi Islam seperti Palestin.
Yang sentiasa mengharapkan kita prihatin

Biarlah dia lelaki bisu
dari pujuk rayu yang mengoncang kalbu
dari menyusun ungkapan yang meracun fikiran
dari perkataan yang mengundang kekufuran
Ku harapkan bibirnya basah mengingati Tuhan
lidahnya tidak lekang  membaca Al-Quran
Asal dia petah membangkang kemungkaran
dan dia lantang menyuarakan kebenaran

13.11.09

Ayahanda

buat lelaki yang membesarkan kami dengan penuh rasa cinta
Ayah,
Sekian lama anakanda ditempat orang
Rindu bertapak dihati mengenang wajah ayah.
Terkenang-kenang jasa ayah.
Dengan seribu kerutan didahi
Bukti susah payah membesarkan kami.
Setelah ibu meninggal,
Cuma ayah tempat bergantung
Tiadalah lagi insan lain yang mengasihi diri ini
Sebesar kasih ayah.
Walau sejauh mana anakanda berlari
Meninggalkan kenangan dan kampung halaman
Cinta ayah tetap setia menemani

Semoga malam ini
Disaat anakanda sedang sibuk menghadapi peperiksaan
Anakanda doakan ayah sihat dan sejahtera
Amin

19.10.09

Aksara Cinta

Kalimah illahi ku lonjakkan ke permukaan hati
Ketika datangnya seorang lelaki
Yang memberi salam tanpa membuka hijabku
Lalu ku sembah wajahku ke lantai bumi
Menghadap hamparan sejadah yang kian kelam
Disebalik lautan jernih air mata
Yang surut ke pipi jatuh menimpa tadahan doa
Inilah doa dan air mata
Untuk sang pencipta

Guru : Faisal Tehrani






Guru,
tulisanku ini berunsur pekerti
yang terhasil dari taburan budi
yang berinti ilmu,milik dirimu.

Guru,
Pertama kali bertemu
Didalam kamar ilmu
Terasa gugup rentak nafasku
Untuk berhadapan dengan wacana yang aku tidak tahu

Guru,
Gelombang katamu didaktik.
Tidak batil
kau mambawa hakikat islam
Hakikat ‘Iqra’
Ke lembah jiwaku
Menaungi akalku

Guru,
Andai hari ini kita berpisah
Gugusan ilmu itu masih ada
Untuk ku jalurkan pada bangsa merdeka
Menyusur kebebasan intelek
Dalam lautan kasih seorang guru

Selamat hari guru
Untuk kau dan aku

Pantun Ukhwah

Umpama mawar didalam taman
saling mekar memecah haruman
alangkah indah jika digandingkan
sama melangkah meniti perjuangan

Bingkisan berlandas tulusnya niat
Sebalik kias makna tersurat
Anugrah Allah hadir bertempat
Puisi jua pengutus hajat

Bersimpuh Ditaman sambil menari
Gerak Dihati seni didamba
Wahai Teman Puteri Bestari
Sudikah Menjadi Sahabat Hamba?

Sejambak ilmu dari guru


Bismilahirahmanirahim..seorang guru memulakan kelas dengan Surah Al-ikhlas,dan perbuatan itu membuatkan aku mencintainya sebagai seorang guru yang sahih.bukan guru yang batil. Entah apa takdirnya tadi,rakan2ku yang lain semua play truant dengan kelas.Tinggallah aku dalam kamar ilmu itu berdua dengan seorang jejaka yang kukenal sebagai guru.Agak gugup sebenarnya menghadapi situasi yang tidak wajar seperti ini.Lalu aku sebagai menghormati fitrah insan,aku menjadikan pintu kamar terbuka.Darahku sejuk.Gementar berhadapan dengan seorang lelaki muda yang berilmu.Rasanya,berbicara sepatah pun dengan dia aku tidak layak.apatah lagi melihat ke dalam matanya.Namun,lelaki berbudi itu sudi menanyakan namaku.Terima kasih guru,kerana sudi menghamburkan minitmu.

Melangkah ke alam Gergasi


Sejak akhir-akhir ini..terlalu banyak kekeliruan yang hadir. Tentang isu menentang kerajaan, tentang cinta.. sosial dan peradaban.. Aku dibebani waktu.Waktu yang menginjakkan aku ke dalam dunia orang dewasa.Yang penuh kekalutan fikiran sehingga akhirnya aku buntu mencari tempat rujukan.Ayah pun tidak sefahaman denganku.Pensyarah ada kata A,ada yang kata B. Kekasih? aku belum ada lagi. Tapi asy Eirhan selalu ada pendapat yang bertentangan. Dunia orang dewasa terlalu kompleks.Kadang-kala penuh kebencian,persaingan dan kepura-puraan yang dihalalkan. Lalu aku menjadi pemikir.Pemikir yang jahil.Kadang-kala,ku cuba cari penyelesaiannya dengan pengaruh ketuhanan.Namun jawapan masih hampa.Aku mengharapkan penglihatanku pada hari ini akan mendorong kematangan intelektualku.Aku tidak mahu selama-lamanya gagal dalam menghadapi revolusi minda.Hari ini,esok..aku telah Dewasa..


Bismillahirahmanirahim..
Aku terima email dari seseorang yang tidak dapat kuselidiki identitinya.. bergetar bibir membaca rangkap demi rangkap pantun yang dihulur.Email ini didatangkan selepas beliau melihat video pertandingan pantun aku waktu sekolah dulu. Ini adalah salinan dari inbox emailku..

Putera:
padi jemuran penuh sedulang
laguan bertampi bertingkah di laman
budaya warisan tinggi dijulang
kekal berumbi zaman-berzaman

berkepuk jerami jauh di bendang
buah berangan tangkainya rendah
andai kami dijemput bertandang
kecil tangan nyiru ku tadah

assalamualaikum, barisan pramugara MAS ingin menyertai pesta pantun untuk pertandingan yang akan datang. jemputlah kami untuk bertandang sebagai peserta. hubungi Bendahara Pantun MAS di

Cintaal-aqsa:
Sulaman kata berbalas setia

Akar berjuntai pokok sena
ku intai-intai rupanya teruna

salam tuan..

Kilau bak emas air ditasik
Dinaung awan bayang selisih
Pramugara MAS datang berbisik
Lamaran tuan bersambut kasih

Pancapersada bersulam suasa
Sinarnya terbit seluruh pekan
Kasih kepada warisan bangsa
Ilmu secubit hamba dulukan